BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday 2 March 2012

Mahmudah VS Mazmumah

MENGHARAP VS PUTUS ASA

"MENGHARAP"



Mengharap atau dalam istilah tasawufnya dikenali sebagai raja' (sebuah jawapan atas rasa takut atau khauf), di mana kedua-dua sifat ini saling berkait antara satu sama lain. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Dan mereka berdoa kepada kami dengan pengharapan dan perasaan takut." (Surah al-Anbiya' 21:90).

Khauf (rasa takut) dan raja' (mengharap) adalah dua ubat untuk penyakit hati yang apabila salah satu daripada kedua-duanya hilang akan menjadikan seseorang tidak tenteram. Jadi, seseorang mukmin seharusnya menyeimbangkan antara khauf dan raja', agar memperoleh kesepaduan dalam hidup. Sikap raja' penting dalam diri seseorang untuk menolak penghayatan al-khauf secara berlebihan yang dikhuatiri menyelinap masuk ke dalam hati seseorang mukmin. seorang mukmin dianjurkan untuk tidak berhenti mengharap daripada pengampunan Allah meskipun sudah bergelumang dengan dosa. Hadis Qudsi ada menyebut, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud "Aku terlalu dekat dengan prasangka hamba-Ku. Maka hendaklah dia berprasangka terhadap-Ku atas apa yang dia inginkan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 "PUTUS ASA"


Putus asa dalam bahasa Arab ialah yaiesa. Sifat ini terjadi apabila tiada sifat khauf dalam hati seseorang. Keadaan ini menyebabkan dia meremehkan persiapan apabila menghadapi kematian. Apabila keadaan ini berlebihan akan timbullah rasa putus asa. Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Dan janganlah kamu berputus asa daripada ramat Allah, sesungguhnya yang berputus asa daripada rahmat Allah hanyalah orang yang kafir." (Surah Yusuf 12:87).

Allah masih memberi pengharapan kepada orang yang berputus asa dengan firman-Nya yang bermaksud : "Katakanlah, 'Hai hamba-hambaKU yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.' Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Zumar 39:53).

Tip-tip mengelakkan daripada berputus asa :

  • Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk kita menjadi lebih baik.
  • Paling penting ialah usaha kita yang gigih. Hasil yang Allah S.W.T. berikan nanti, itu soal ke-2. Namun kita tetap mendapat ganjaran daripadaNYA.
  • Sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah.
  • Sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan.



Rujukan Majalah Solusi Edisi ke-22 =)

0 comments: